PUTRAJAYA: Keputusan menutup atau membuka semula sekolah susulan keadaan jerebu dibuat secara bersama menerusi jawatankuasa berkaitan dengan mengambil kira aspek kesihatan serta kesan terhadap pendidikan murid.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu tidak dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) secara bersendirian, sebaliknya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), garis panduan sedia ada dan nasihat agensi berkaitan.

"Kita ada jawatankuasa, bukan KPM sahaja yang buat keputusan semata-mata. Panduan dan pedoman itu memang kita ambil sepenuhnya daripada NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan juga KKM (Kementerian Kesihatan).

"Jadi kita buat keputusan itu dalam jawatankuasa secara bersama selepas mempertimbangkan semua keadaan dan keputusan itu akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.