Menteri KPT Zambry Abd Kadir berkata, pihak IPTA boleh laksana kaedah pembelajaran dalam talian jika penuntut tidak dapat hadir ke kampus.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menentukan kaedah pembelajaran masing-masing susulan situasi jerebu yang semakin buruk.

“Kita beri autonomi kepada universiti, politeknik dan kolej komuniti. Mereka perlu nilai sendiri keadaan semasa dan buat keputusan,” kata Menteri KPT Zambry Abd Kadir, selepas menghadiri Malaysia Global Civilisational Initiative Summit 2026 hari ini.

Beliau berkata, pihak IPTA boleh melaksanakan kaedah pembelajaran alternatif seperti pembelajaran dalam talian jika penuntut tidak dapat hadir ke kampus.