BATU PAHAT: Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di daerah ini dilihat semakin pulih apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Batu Pahat menunjukkan penurunan ketara pagi ini, berbanding malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat memaklumkan bacaan IPU yang dicerap setiap dua jam mencatatkan bacaan 195 pada pukul 7 pagi sebelum menurun kepada 190 pada pukul 9 pagi.

Semalam, bacaan IPU pada pukul 8 malam direkodkan pada paras 203, iaitu dalam kategori sangat tidak sihat sehingga menyebabkan sekolah, tadika, taska dan sekolah agama di seluruh Daerah Batu Pahat ditutup, hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan umum seperti Dataran Penggaram, di sini turut lengang daripada sebarang aktiviti susulan keadaan jerebu berbanding hari-hari biasa.-UTUSAN