Kota Kinabalu: Perjalanan pulang seorang bapa bersama anak perempuannya berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila kedua-duanya meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Sabah Port, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, dan Norfaieza Mohd Jadi, 24, terperangkap di dalam Toyota Avanza sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Baru, di sini, selepas Mohd Jadi mengambil Norfaieza yang bekerja di Manggatal.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 6.31 petang sebelum 26 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.