PASIR MAS: Seorang bapa hanya mampu memangku anaknya yang berusia 14 tahun selepas Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi maut dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing bersama tiga rakan dan sepupunya di Kampung Tasek Berangan di sini petang tadi.

Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, berkata, dia memangku anak bongsunya itu sejurus tiba di lokasi kejadian sebelum membawanya ke Hospital Pasir Mas.

“Saya tidak sempat mengajarnya mengucap kerana arwah sudah meninggal dunia. Arwah seorang anak yang rajin dan tiada perubahan pelik kebelakangan ini.

“Cuma semalam saya sempat berpesan kepadanya supaya rajin mengaji al-Quran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.