TUMPAT – Hasrat pasangan suami isteri untuk pulang ke kampung menziarahi pusara bapa tidak kesampaian apabila mereka maut dalam nahas di Jalan Sungai Buloh berhampiran susur masuk ke Sierramas, Petaling Jaya, Selangor petang semalam.

Dalam kemalangan itu, jururawat, Noor Atirah Yacob, 32, dan suaminya, Mohd. Zulilazwan Zulkifli, 32, yang bekerja sebagai juruelektrik pendingin hawa meninggal dunia selepas motosikal yang mereka naiki terlibat nahas dengan sebuah lori.

Ibu Allahyarham Noor Atirah, Noriah Yusoff, 74 berkata, arwah yang merupakan anak ke-10 daripada 11 beradik itu ada memaklumkan akan pulang ke Kelantan pada 17 Oktober ini kerana sudah lama tidak menziarahi pusara bapanya.

Katanya, dia tidak sabar hendak berjumpa dengan cucunya, Ian Hijazi Mohd. Zulilazwan, 6, selepas kali terakhir mereka pulang pada 28 Ogos lalu untuk melihat kakaknya, Zunaidah Yacob, 53, menjalani pembedahan kecil.