SELAYANG: Semangat juang skuad bola sepak remaja wanita negara tetap mendapat penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun impian mereka melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 di China tidak kesampaian.

Anwar menyifatkan usaha dan keberanian yang ditampilkan pemain sepanjang kejohanan wajar diberikan pujian, selain berharap pengalaman itu menjadi pembakar semangat untuk mereka bangkit lebih kuat pada kejohanan akan datang.

"Syabas atas usaha dan keberanian yang ditampilkan sepanjang kejohanan. Jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat dan melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang.

"Teruskan melangkah, Malaysia!" katanya menerusi perkongsian beliau.