SELAYANG: Kekecewaan gagal membawa Malaysia ke pentas Piala Asia Wanita B-17 2027 jelas dirasai bintang muda negara, Lim You, apabila pemain berusia 14 tahun itu menitiskan air mata selepas skuad remaja wanita negara tewas kepada India di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Lim You yang beraksi sepanjang 90 minit dilihat tidak dapat menyembunyikan kesedihan sebaik wisel penamat dibunyikan selepas Malaysia gagal menyaingi keampuhan lawan dalam perlawanan penentuan juara Kumpulan E itu.
Situasi berkenaan menarik perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi memberikan sokongan kepada pemain negara sebelum mendekati Lim You untuk memujuk serta memberikan semangat kepada pemain muda itu.









