Kajang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Chuah di sini, semalam, ditangguhkan petang tadi berikutan hujan lebat.
Mangsa berusia lingkungan 40-an, kali terakhir dilihat memakai baju putih ketika dihanyutkan arus sungai berhampiran Jalan Pasir Emas 2 sebelum hilang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang semalam, selepas orang awam melaporkan melihat lelaki berkenaan dihanyutkan arus.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum memulakan operasi mencari mangsa.






