Sungai Petani: "Saya tak tahu macam mana nak cari duit sebanyak itu bagi merawat adik kerana memang tak mampu. Keluarga saya pun bukan orang senang."

Demikian luahan Mohd Rizuan Rosley, 35, yang kini buntu mencari dana bagi membolehkan adiknya, Muhammad Affandi Rosley, 22, menjalani pembedahan tulang belakang akibat kecederaan dialami kesan kemalangan jalan raya pada 6 Oktober lalu.

Pada hari kejadian, Muhammad Affandi dalam perjalanan dari tempat kerja di sebuah premis kanvas untuk makan tengah hari di rumah sebelum motosikal ditunggang dipercayai dihimpit sebuah kereta.

Menurut Mohd Rizuan, adiknya dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, selepas kejadian dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati Muhammad Affandi cedera teruk pada bahagian tulang belakang selain patah tulang punggung, rusuk, bahu dan serviks.