BUTTERWORTH: Gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini terhenti semalam yang menjejaskan bekalan air kepada 130,790 pengguna di Seberang Perai dan bahagian pulau negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan, berkata bekalan air kepada 125,290 pengguna atau 96 peratus daripada jumlah yang terjejas telah dipulihkan setakat 4.30 petang tadi.

Beliau berkata, ketika ini, petugas PBAPP sedang berusaha secepat mungkin untuk memulihkan bekalan air kepada baki 5,500 pengguna yang masih terjejas menjelang tengah malam ini.

"Gangguan bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara tiba-tiba dan berskala besar menyebabkan operasi pengepaman, rawatan dan sistem dos kimia di LRA Sungai Dua terhenti pada 11.17 malam semalam.