Kuala Terengganu: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan status sebagai gergasi Liga Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, TFC kendalian Nafuzi Zain terlebih dahulu mengancam kubu pelawat menerusi percubaan Haziq Kutty Abba pada minit kesembilan, bagaimanapun rembatan deras pemain itu sekadar tersasar tipis di sebelah kanan pintu gol JDT.

Ancaman itu menyaksikan Harimau Selatan memperkemaskan rentak permainan sebelum memecah kebuntuan menerusi penyerang berbisa mereka, Bergson Da Silva pada minit ke-26.

Bergson mempamerkan aksi berkualiti apabila bijak memperdaya empat pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol TFC, Suhaimi Husin, untuk meletakkan JDT di depan 1-0.