BIARPUN bakal menghadapi cabaran getir berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) tekad untuk ‘melawan’ bagi memburu keputusan positif pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, persiapan rapi sudah dilakukan dengan penekanan diberikan terhadap memperbaiki kelemahan pasukan selain mengelak melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Harimau Selatan.
Menurut beliau, TFC mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan mata berharga biarpun sedar reputasi gah dimiliki JDT.
“Kita tahu JDT satu pasukan yang kuat, kita perlu lebih bersedia dan mengelak sebarang kesilapan mudah. Apapun terjadi, kita tetap akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan mata,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.








