Kuala Lumpur: Penganjuran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda mengembangkan bakat, selain menjadi platform tambahan kepada kejohanan sedia ada di peringkat sekolah.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, pembabitan pihak swasta dan syarikat korporat dalam penganjuran kejohanan mampu membantu pembangunan sukan itu, terutama ketika badan induk berdepan kekangan untuk melaksanakan pelbagai program secara serentak.
Beliau berkata, kerjasama antara penganjur, pihak korporat dan media seperti McDonald's Malaysia dan Harian Metro penting bagi memastikan lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan secara konsisten, sekali gus memberi ruang kepada pemain untuk terus bersaing selepas tamat kejohanan peringkat sekolah.








