Kuala Lumpur: Pengorbanan skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, dalam mengharumkan nama negara di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mendapat penghargaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi penyaluran insentif kemenangan berjumlah RM160,000.

Insentif itu diberikan kepada 20 pemain dan lapan pegawai pasukan sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan meraih pingat perak pada temasya berkenaan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pencapaian itu bukan hadir dengan mudah, sebaliknya hasil komitmen, disiplin serta pengorbanan seluruh pasukan dalam menggalas cabaran negara.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan membuktikan kemampuan Malaysia untuk bersaing pada tahap tertinggi, selain menjadi pencapaian bermakna buat perkembangan hoki negara.