Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam memperkukuhkan lagi kerjasama dalam operasi siasatan dan perisikan bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras jenayah rasuah rentas sempadan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kerjasama erat kedua-dua agensi penting dalam aspek perkongsian maklumat, bantuan siasatan dan penyelarasan operasi.
"Hubungan kerjasama antara SPRM dan BMR yang sudah terjalin diharap dapat terus diperkukuh melalui pertukaran maklumat yang lebih berkesan, komunikasi yang baik serta penyelarasan tindakan yang lebih cekap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Kali Ke-19 Bantuan Kerjasama SPRM dan BMR Brunei Darussalam dalam Bidang Operasi Siasatan dan Perisikan serta Taklimat Operasi Bersama di sini, semalam.










