Johor Bahru: Bukan sekadar menjadikan idola malah pemuda ini menzahirkan kasih sayang dengan menghadiahkan lukisan potret dihasilkan kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bakat Mohamad Faizuafiq Othman, 26, atau dikenali Afiq Othman mendapat perhatian penyanyi nombor satu negara itu dan warganet selepas mula berkongsi hasil lukisannya di Threads menerusi akaun TanganByAafiq bulan lalu.
Sejak itu, ramai mengikuti perkembangannya malah hasil karya Afiq turut mendapat perhatian beberapa selebriti tanah air antaranya pelakon Azhan Rani, Zarif Ghazzi, Irfan Zaini, Siti Khadijah Halim dan Haidar selepas melukis potret mereka.
Berkongsi kisahnya, Afiq yang menetap di Taman Johor Jaya, di sini berkata, dia mula jatuh cinta dengan seni lukis sejak berumur 12 tahun malah Pendidikan Seni adalah subjek kegemarannya ketika di sekolah.









