Kuala Lumpur: Malaysia menyifatkan ordinan baharu Kerajaan Nepal berhubung perisytiharan kematian mangsa bencana yang masih gagal dihubungi, akan memberi kepastian undang-undang dan pentadbiran lebih jelas.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ordinan yang memendekkan tempoh perisytiharan kepada 45 hari berbanding 12 tahun dari tarikh bencana itu akan memberi kelebihan berkenaan kepada keluarga yang terjejas.

"Kita menyambut baik kelulusan ordinan baharu Kerajaan Nepal ini," katanya dalam kenyataan diterbitkan Wisma Putra, hari ini.

Jumaat lalu, Kerajaan Nepal dilapor mencadangkan tempoh sedia ada yang menetapkan mangsa hanya boleh diisytiharkan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang selama 12 tahun, dipendekkan kepada 45 hari.