Kuching: Sorakan penyokong Kuching City FC bukan sesuatu yang mahu dielakkan Kitchee SC, sebaliknya dialu-alukan menjelang pertemuan Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok.

Ketua jurulatih Kitchee, Iñigo Calderón, berkata suasana meriah di gelanggang lawan menjadi sebahagian daripada cabaran yang perlu dinikmati pemainnya pada aksi pertama di tempat lawan dalam kempen berkenaan.

"Lebih ramai orang datang, lebih baik. Lebih kuat sorakan, lebih baik. Kami tidak boleh takut dengan perkara itu," katanya pada sidang media praperlawanan di stadium berkenaan, hari ini.

Calderón berkata, ketika bergelar pemain, perlawanan dengan sokongan penonton yang kuat adalah antara pengalaman yang sentiasa dinantikannya.