Seremban: Sindiket penipuan dikesan beroperasi di sebuah resort terpencil dan terbiar selama empat tahun, di Broga, Mantin, bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Sindiket yang menyasarkan warga China berkenaan sanggup menyewa salah sebuah blok resort yang mempunyai lapan bilik itu, dengan harga RM20,000 sebulan.
Taktik itu terbongkar selepas polis melaksanakan serbuan di resort berkenaan pada 11 Oktober lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, menerusi serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen (JSKJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menahan 40 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket 'phone scam' itu.









