SEREMBAN: Satu sindiket penipuan didapati beroperasi di sebuah resort terpencil dan terbiar selama empat tahun, di Broga, Mantin, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Sindiket menyasarkan warga China berkenaan sanggup menyewa salah sebuah blok resort yang mempunyai lapan bilik itu, dengan harga RM20,000 sebulan.
Taktik itu terbongkar selepas polis menyerbu resort berkenaan, Ahad lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata menerusi serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen (JSKJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menahan 40 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket phone scam.









