Kuching: Status bukan pilihan tidak menghalang Kuching City FC daripada memburu keputusan positif apabila menerima kunjungan Kitchee SC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, mahu anak buahnya beraksi seperti menghadapi final pada penampilan pertama kelab itu dalam ACL2 di laman sendiri.

Menurutnya, pengalaman Kitchee beraksi dalam pertandingan besar Asia menjadikan pasukan berkenaan lawan yang mencabar, namun peluang itu perlu digunakan untuk mengukur kemampuan The Cats.

"Kami tidak boleh mengawal keputusan, tetapi kami boleh memberikan persembahan terbaik serta menunjukkan sikap yang betul. Kami perlu menganggap setiap perlawanan seperti final," katanya pada sidang media praperlawanan di stadium berkenaan, hari ini.