KUALA LUMPUR: Pertubuhan Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) bimbang timbul ketidakselarasan dalam pengurusan insurans, data peribadi dan kewangan babit keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir besar di Nepal, Ogos lalu.
Jurucakapnya, Dr Manivannan Rethinam, berkata isu berkenaan dikesan selepas beberapa keluarga dihubungi penyelaras insurans (adjuster) yang mendakwa dilantik oleh syarikat insurans bagi mengesahkan maklumat mangsa.
Menurutnya, MASFIH mendapatkan penjelasan daripada Bank Negara (BNM) dan berdasarkan maklumat disampaikan, pihak insurans berkenaan mengesahkan bahawa penyelaras insurans berkenaan dilantik untuk mendapatkan maklumat dan membuat pengesahan terhadap individu yang mungkin mempunyai rekod dengan syarikat itu.










