Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner di sini menetapkan Jumaat ini bagi menentukan arahan lanjut berhubung penyerahan hujah dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, mahkamah telah selesai mendengar keterangan daripada semua 83 saksi hari ini dan akan membincangkan langkah seterusnya pada jam 9 pagi, Jumaat ini.

"Dengan ini, saya percaya kita telah selesai mendengar keterangan daripada kesemua saksi dalam inkues ini. Saya memohon penghujahan secara mendalam (daripada pihak-pihak terlibat)," katanya selepas saksi terakhir, pegawai penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung selesai memberi keterangan pada hari ke-96 prosiding inkues berkenaan.

Amir turut memaklumkan bahawa alasan penghakiman bagi kes berkenaan akan disampaikan dalam Bahasa Malaysia bagi memudahkan orang awam memahami penemuan dan keputusan mahkamah.