ISKANDAR PUTERI: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh memulakan kempen ALLIANZ Malaysia Super 100 2026 dengan kemenangan selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Kim Hae-deun, 21-15, 21-16 di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, hari ini.

Justin yang menghuni ranking ke-39 dunia berpuas hati dengan persembahan pembukaannya dan bertekad untuk meneruskan momentum kemenangan itu dalam usaha memburu gelaran di laman sendiri.

"Saya sangat gembira dapat memenangi perlawanan ini dan berharap dapat beraksi dengan lebih baik esok. Kejohanan ini amat penting bagi saya kerana berlangsung di halaman sendiri, dan saya berharap dapat memenangi gelaran untuk Malaysia," kata Justin.

Justin menjelaskan bahawa strategi permainannya tertumpu kepada serangan balas, selain mengakui mengkaji corak permainan lawan terlebih dahulu sebagai persiapan menghadapi perlawanan.