KOTA KINABALU: Polis merakamkan keterangan 200 saksi sepanjang siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir bagi melengkapkan laporan kematian mengejut (SDR).
Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, saksi terbabit merangkumi ahli keluarga, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah, serta guru mangsa.
Turut diambil keterangan ialah pegawai perubatan, anggota polis dan pelajar yang mendiami asrama berkenaan.
"Semua keterangan dirakamkan oleh saya dengan bantuan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Sipitang," katanya ketika membacakan kenyataan bertulisnya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian remaja berkenaan.









