KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan PN memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis RoS yang menggantung semua kegiatan gabungan itu.

Hakim, Datuk Azizan Md Arshad, ketika menolak permohonan PN bagi mendapatkan penggantungan sementara notis RoS bertarikh 22 September itu, menetapkan 22 Oktober ini bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte notis berkenaan.

Beliau memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam, Ivanpal Singh Grewal, mewakili PN selaku pemohon, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhaffiza Azizan mewakili responden.