surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 13 Oktober ini untuk mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan Perikatan Nasional (PN) bagi mencabar perintah penggantungan kegiatan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azizan Md Arshad pada jam 9 pagi.

Permohonan itu dikemukakan PN yang bimbang tidak dapat meletakkan calon bertanding menggunakan nama dan simbol gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sekiranya penggantungan berkenaan kekal sehingga hari penamaan calon.

Kebimbangan itu dinyatakan dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan PN di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan RoS menggantung semua kegiatan gabungan itu serta notis yang boleh membawa kepada pembatalan pendaftaran mereka.