KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, di sini, menerusi perintah tahanan rumah yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Mengesahkan perkara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya sudah menerima perintah berkenaan, termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.

"Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah Yang di-Pertuan Agong dan perintah itu juga mempunyai lampiran berkenaan syarat serta terma pelaksanaan perintah itu, termasuk mekanismenya," katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.