KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan hukuman bagi kes 1MDB tidak menghalang Datuk Seri Najib Razak daripada menjalani baki hukuman kes SRC International Sdn. Bhd. di bawah tahanan rumah (house arrest).

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu telah menerima surat rasmi perintah tahanan rumah daripada Yang di-Pertuan Agong beserta lampiran syarat-syarat yang ditetapkan.

“Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah tersebut bersama lampiran terma dan syarat pelaksanaan tahanan rumah. Cuma kandungan khusus tidak boleh didedahkan atas arahan pihak penjara demi mengelakkan pelbagai spekulasi awam.

“Malah, lokasi tahanan rumah di Langgak Duta juga telah disahkan di mana beliau akan tinggal bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.