KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman berkata, tindakan itu dibuat selepas Jabatan Penjara menerima makluman mengenai pelaksanaan tersebut."Jabatan Penjara sudah memaklumkan perincian kepada Datuk Seri Najib," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen di sini pada Rabu.Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada 19 September lalu dilapor berkata, Jabatan Penjara dijangka mengeluarkan SOP bagi pelaksanaan tahanan rumah bekas Ahli Parlimen Pekan itu dalam masa terdekat.Beliau berkata, SOP berkenaan akan memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan Najib.Sementara itu, Azalina enggan mengulas lanjut ketika ditanya ditanya mengenai proses tahanan rumah bekas Presiden UMNO berkenaan.Beliau berkata, perkara tersebut perlu diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.Ketua Penerangan UMNO itu juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan kutipan dana bagi membantut membebaskan Najib.