KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara sudah memaklumkan perincian prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman, berkata perincian berkenaan sudah dimaklumkan kepada Najib.
"Jabatan Penjara sudah memaklumkan perincian kepada Datuk Seri Najib," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri sesi taklimat media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkaitan pelaksanaan hala tuju institusi Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berkuat kuasa 1 Oktober lalu.









