Kuala Lumpur: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Seri Lee Chong Wei menasihatkan Lee Zii Jia supaya terus kuat mengharungi ujian susulan pertikaian membabitkan keluarganya, selain kekal fokus terhadap kerjaya badminton dan impiannya ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Chong Wei berkata, beliau bersimpati dengan nasib pemain ranking ke-42 dunia itu kerana menyedari bukan mudah untuk seseorang berdepan masalah keluarga, lebih-lebih lagi apabila perkara berkenaan menjadi perhatian di media sosial.

"Saya berasa simpati terhadap Zii Jia kerana situasi seperti ini bukan mudah untuk dihadapinya terutama membabitkan keluarga," katanya ketika dihubungi.

Chong Wei percaya apa yang dihadapi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap mentalnya.