Kota Kinabalu: Pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, bahawa tiada individu yang menolak atau membunuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Inspektor Wong Yew Zhung yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, berdasarkan siasatannya, tiada sebarang unsur mencurigakan yang ditemui berhubung kematian Zara.

Ketika disoal peguam Joan Goh berkaitan kemungkinan kematian berpunca kemalangan, Wong berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada pakar.

Wong turut mengesahkan kepada Goh bahawa beliau telah meneliti hubungan Zara dengan ahli keluarganya, yang mana mereka adalah antara 200 individu yang dipanggil untuk diambil keterangan.