BATU PAHAT – Cinta tidak berbalas dipercayai menjadi antara motif seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, (gambar kecil) ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan parah pada muka dan badan dipercayai akibat hentakan menggunakan objek keras.
Pelajar tingkatan empat itu ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah di dewan sekolah berkenaan oleh rakan, ibu saudara dan nenek mangsa ketika usaha pencarian dilakukan.
Difahamkan Irene Sofiya atau lebih dikenali dengan Fiya tidak berminat untuk mempunyai teman lelaki kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan cita-citanya untuk bergelar doktor pakar.








