BEIJING: Jambatan baharu yang menghubungkan China dan Korea Utara akan dibuka minggu ini, lapor media kerajaan China hari ini, selepas pembinaannya siap 12 tahun lalu.

Perkembangan itu sekali gus menjadi satu lagi petunjuk hubungan ekonomi antara kuasa besar Asia itu dengan negara jirannya yang miskin semakin erat.

Jambatan Sungai Yalu baharu itu, yang akan dibuka pada Khamis menurut penyiar kerajaan, CCTV, menghubungkan bandar sempadan Dandong di timur laut China dengan Korea Utara, antara negara paling terasing di dunia.

Struktur empat lorong sepanjang 3,026 meter itu siap dibina pada 2014, namun pembukaannya tertangguh berikutan beberapa masalah, termasuk ketiadaan jalan penghubung dan kemudahan kastam di pihak Korea Utara, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.