Imej satelit menunjukan pangkalan tentera baharu China yang sedang dibina di lapangan terbang Ban Keun di Laos. Penganalisis berkata masih terlalu awal melihatnya sebagai ancaman tanpa maklumat lanjut daripada Vientiane. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Malaysia harus mengelak daripada melihat kemudahan ketenteraan baharu China di Laos sebagai ancaman tanpa terlebih dahulu memahami bagaimana Beijing berhasrat menggunakannya, kata seorang penganalisis dasar luar.

China mengumumkan minggu ini bahawa sebuah pusat sokongan dan latihan ketenteraan bersama yang terletak kira-kira 50km di utara ibu negara Laos, Vientiane, telah mula beroperasi.

Kemudahan itu merangkumi sebuah lapangan terbang baharu dan akademi penerbangan, yang menurut China akan digunakan untuk melatih juruterbang tentera udara Laos.