Kuala Lumpur: Jerebu mengubah rentak Festival Larian Wanita KL (KLWRF) 2026 apabila jarak larian terpaksa dipendekkan kepada 2.6 kilometer (km), namun semangat 8,000 peserta bukan sahaja kekal membara, malah membawa makna lebih besar menerusi sumbangan amal.
Lebih membanggakan, wang hadiah berjumlah RM9,200 yang sepatutnya menjadi rebutan peserta bagi kategori kompetitif disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), menjadikan cabaran jerebu itu turut membuka ruang untuk membantu golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, pihaknya bersyukur edisi sulung festival itu dapat diteruskan dengan sokongan Guardian meskipun berdepan cabaran keadaan jerebu.









