LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) mengaturgerak 100 anggotanya dari Pangkalan TLDM Lumut bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) susulan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Pulau Pangkor awal pagi ini.
Misi bantuan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Staf Operasi MPA Barat, Komander Abdul Manan Mazlan, melibatkan tiga buah Fast Combat Boat (FCB) dan dua buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) bagi menyokong pergerakan anggota serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.
Sebuah helikopter TLDM turut berada dalam keadaan siap siaga bagi memberikan sokongan udara sekiranya diperlukan.
Dalam pelaksanaan misi bantuan ini, TLDM juga telah menyediakan sebanyak 300 bungkus makanan dan 425 botol air mineral untuk diagihkan kepada para petugas terdiri daripada warga TLDM, guru-guru, individu serta wakil beberapa agensi awam yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.









