KUALA LUMPUR: Jerebu memaksa jarak larian Festival Larian Wanita KL (KLWRF) 2026 dipendekkan kepada 2.6 kilometer (km), namun tidak mematahkan semangat 8,000 peserta yang membanjiri Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Edisi sulung festival itu tetap berlangsung meriah apabila peserta menyertai pelbagai aktiviti kecergasan dan kesejahteraan, sekali gus menjadikannya platform menggalakkan wanita mengutamakan kesihatan fizikal serta mental.

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, berkata pihaknya bersyukur acara itu dapat diteruskan dengan sokongan Guardian meskipun berdepan cabaran akibat keadaan jerebu.

Beliau berkata, penyesuaian aktiviti larian dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa dan keperluan mengutamakan kesihatan peserta.