PASIR MAS: Empat warga Indonesia masing-masing dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan cop palsu pada pasport mereka ketika memasuki Malaysia, minggu lalu.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka masing-masing dibacakan hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Hakim turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Mengikut pertuduhan, Rahmawati, 39; Rahma, 52; Sumkiah, 57; dan Ahmad Rifat Ramadani, 20, didapati menggunakan cop palsu itu ketika menaiki bas ekspres di Gua Musang, pada tengah malam pada 10 Oktober lalu.