SYDNEY: Pameran pertanian di Perth, ibu negeri Western Australia, dikenakan sekatan keluar masuk dan ditutup lebih awal pada petang Sabtu, selepas pergaduhan membabitkan beberapa kumpulan remaja semakin memuncak, lapor Xinhua.

Polis dipanggil ke Pameran Pertanian Kelmscott di Rushton Park, Kelmscott, pada petang Sabtu selepas puluhan remaja cuba memasuki kawasan pameran itu, menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Ahad.

Presiden Persatuan Pertanian, Kelmscott Daryl Dawes, berkata pergaduhan di dalam kawasan pameran semakin memuncak sepanjang hari, sehingga menyebabkan antara 50 hingga 70 remaja bawah umur cuba memasuki kawasan berkenaan, menurut laporan itu.

Dawes memberitahu ABC, sekatan keluar masuk dikuatkuasakan kira-kira 5 petang, dengan semua pintu pagar dikunci menggunakan mangga sehingga polis tiba untuk menangani kekecohan di luar kawasan pameran.