TOKYO: Para saintis Jepun kini berada pada fasa akhir persiapan untuk melancarkan misi penerokaan ke bulan planet Marikh bagi mengambil sampel batuan yang dipercayai mampu membongkar asal usul sistem suria serta kehidupan di bumi.
Misi berkenaan yang dijadualkan menjadi penerbangan ulang-alik pertama seumpamanya ke rantau Marikh menggunakan kapal angkasa tanpa pemandu Martian Moons eXploration (MMX).
Misi ini merupakan kerjasama strategik antara Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) dengan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, serta disokong oleh beberapa universiti dan syarikat teknologi utama.
Menurut JAXA, roket H3 yang membawa probe MMX dijadualkan berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima pada Selasa jam 4.41 pagi (waktu tempatan).









