KUALA LUMPUR; Hanya sembilan peratus daripada bekalan rumah baharu di Malaysia dilihat mampu dimiliki oleh isi rumah berpendapatan bawah RM6,000 sebulan, mengikut laporan Khazanah Research Institute (KRI).
Dapatan itu berdasarkan data taburan unit perumahan baharu berbanding bahagian isi rumah mengikut kumpulan pendapatan di Malaysia pada 2024.
Laporan yang disediakan Penyelidik KRI, Dr Nur Fareza Mustapha itu menunjukkan isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM6,000 hanya mampu membeli kediaman berharga RM200,000 dan ke bawah, berdasarkan penanda aras kemampuan rumah yang ditetapkan pada tiga kali pendapatan tahunan isi rumah.
Ia berkata, sebanyak 52 peratus rumah baharu yang dilancarkan berada dalam julat kemampuan isi rumah berpendapatan melebihi RM12,000 sebulan, sedangkan kumpulan itu hanya mewakili 22 peratus daripada keseluruhan isi rumah negara.









