KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) sudah selesai menyaring calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk semakan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata calon yang dipilih juga perlu menandatangani bon yang ditetapkan parti, dengan denda dikenakan sekiranya mereka melanggar syarat berkenaan.

"Sekiranya ada pelanggaran, perlu dikenakan denda. Kalau bagi ahli Parlimen sebelum ini, denda RM10 juta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Smart Parents Interactive Hub di sini, hari ini.

Beliau berkata, PH dijadual mengumumkan calon mereka pada Sabtu ini selepas proses pemilihan dimuktamad.