KUALA LUMPUR: Biarpun tangan kirinya lumpuh akibat kemalangan dua tahun lalu, seorang pemuda berusia 21 tahun masih tidak serik menunggang motosikal walaupun berdepan risiko kehilangan nyawa.
Pemuda yang tidak memiliki lesen memandu itu antara lebih 800 penunggang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.
Ketika disoal polis, dia mengaku masih mahu menunggang motosikal atas alasan hobi, selain tidak menunjukkan rasa kesal walaupun pernah ditimpa kemalangan.
"Hobi," katanya ringkas ketika ditanya mengapa masih berminat menunggang motosikal meskipun mengalami kecacatan kekal pada tangan kirinya.










