Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung kandungan yang dimuat naik melalui platform media sosial Threads dan disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kandungan berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, MCMC telah merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan.

"Turut disita bagi membantu siasatan ialah satu unit telefon bimbit berserta eSIM untuk tujuan analisis forensik. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]," menurut kenyataan itu.