Filem biopik antara yang sering tidak mencatatkan kutipan yang tinggi di pawagam. Buktinya adalah filem Terbang merekodkan kutipan ‘tidak pulang modal’. Kebanyakan penonton tempatan seolah-olah tidak berani membelanjakan wang untuk menontonnya. Lebih tidak menyeronokkan apabila mereka sanggup menunggu jika filem bergenre itu ditayangkan di platform penstriman.

Jangan salahkan rangka promosi dan strategi pemasaran kerana modal yang dibelanjakan, khususnya untuk filem Terbang, boleh tahan besarnya. Di manakah silapnya? Kita dapatkan pandangan pengarah berpengalaman, Aziz M. Osman.

Filem biopik kebiasaannya gagal menarik penonton, apa silapnya?

Filem ini seperti makanan. Sebagai contoh, bukan semua rakyat Malaysia yang boleh makan makanan Itali. Sama juga halnya dengan filem yang bukan semuanya tahu menghargai filem biopik. Mereka tidak diajar atau didedahkan untuk menghargai naskhah itu.