Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di platform Threads.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Meta, penyedia platform berkenaan, susulan penyebaran imej Seri Paduka Baginda yang disunting dengan unsur penghinaan.

“Susulan itu, kandungan berkenaan telah diturunkan, manakala akaun yang terlibat turut disekat daripada diakses,” menurut MCMC.

Kenyataan itu memaklumkan tindakan lanjut boleh diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].