KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mengakui eksperimen dilakukannya dalam aksi suku akhir kedua Piala FA tidak menjadi sepenuhnya selepas pasukannya tewas 2-3 kepada Star City FC, sekali gus mengecewakan penyokong di laman sendiri.

Bagi Pan-gon, beliau mengambil peluang untuk menguji beberapa pemain di posisi berbeza selain memberikan ruang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing, namun mengakui ada percubaan yang tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

Katanya, kekalahan itu sepatutnya menjadi peringatan buat skuad Gergasi Merah supaya tidak mengambil mudah peluang yang terhidang, terutama apabila mereka berupaya menjaringkan lebih banyak gol.

"Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya boleh menang 3-0, 4-0 atau 5-0. Tetapi kami gagal menyempurnakan peluang yang ada dan itu pengajaran yang baik buat pasukan. Apabila kita mendapat peluang tetapi gagal menjaringkan gol, akhirnya inilah yang berlaku," katanya.